Saturday, October 24, 2026

Bagaimana nak bina bisnes ketika kita tiada apa-apa?

Kita tiada modal, tiada kenalan, tiada pengalaman, tiada idea nak jual apa. Kita betul-betul kosong.

Apa nak buat?
Di mana nak mula?

Mula dengan cari pelanggan. 

Mula dengan jawab soalan-soalan ni:-

Siapa pelanggan atau orang yang kita nak bantu? 
Apa masalah mereka yang kita boleh bantu selesaikan?
Apa ketakutan mereka? 
Apa perkara yang mereka tak puas hati? 
Apa kesakitan, halangan dan cabaran yang mereka hadapi? 
Apa solusi yang kita mampu beri? 
Apa impian mereka? Apa matlamat yang mereka mahu capai? 

Cuba jawap soalan-soalan ini.
Buat kajian mendalam tentang soalan ini. 

Dari sini kita akan dapat idea nak jual apa. 

Benda ni semua boleh belajar.

Friday, October 23, 2026

Perkara pertama saya buat dulu bila nak bina bisnes dari kosong.


Maksudnya saya akan kurangkan perbelanjaan, saya hanya belanja perkara yang penting saja.

Perkara yang tak perlu saya potong.

Tujuan utama ialah saya tak nak terdesak dari segi kewangan.

Saya nak hidup di bawah gaji yang ada.

Kenapa kena buat macam ini?

Sebab, saya tahu nak bina bisnes ini susah.

Ia perlukan masa yang panjang. 

Saya tak da pengalaman berbisnes, oleh itu saya kena belajar untuk berbisnes.

Saya kena buat banyak eksperimen yang sudah tentu banyak salah dan rugi.

Saya tak nak stess keterlaluan sehingga saya tak boleh nak berfikir dengan mendalam.

Saya tak nak terdesak keterlaluan sehingga saya kena bekerja sampai tak da masa untuk menampung kehidupan saya.

Saya perlukan masa dan ruang untuk saya berfikir dan bereksperimen untuk membina bisnes.

Thursday, October 22, 2026

Bagaimana kehidupan yang anda mahukan?

Merangka strategi kehidupan ini bukan kerja sehari. 


Kalau saya, saya suka bermula dengan memikirkan kehidupan bagaimana saya impikan.

Saya impikan kehidupan yang:-

*Tenang, tak mahu terlalu stres, tak mahu terlalu push sangat.

*Dari segi masa - saya tak mahu terikat dengan orang, saya mahu masa yang fleksibel.

*Saya mahu buat apa yang saya suka seperti menulis, membaca, pergi melepak, membangunkan sesuatu projek atau sebagainya, tanpa perlu minta izin orang.

*Dari sudut kewangan, saya takda lah nak kaya macam Elon Musk dan Bill Gates tu, atau kalau di Malaysia kaya macam Tan Sri Syed Mohktar Al Bukhary, Tan Sri Azman Hashim, Lim Goh Tong, Jeffrey Cheah atau yang selainnya tu. 

Bukannya tak nak tau.... tapi saya tahu kemampuan saya. 
Saya tidak akan mampu nak jadi macam mereka. 
Saya tidak akan mampu menghadapi realiti menjadi macam mereka.
Sebab dunia ini bukannya zero sum game.

*Bagi saya cukup untuk saya hidup dengan bebas kewangan. 

Boleh bayar hutang, ada rumah dan kereta yang selesa, boleh makan apa saja, boleh bercuti ke mana saja, apa yang mahu saya boleh beli, kalau nak menderma atau bantu orang saya boleh dan mampu dan  dan sebagainya.

Asasnya saya tidak risau langsung tentang masalah kewangan.
Inflasi ke , minyak naik ke, makanan naik ke, saya ok....

Ini antara kehidupan yang saya mahu. 

Jadi saya akan bina kehidupan saya dari sini.

Pada saya untuk, dapatkan kehidupan yang saya impikan itu saya kena ada bisnes sendiri.

Bisnes yang berjaya, bisnes yang ada untung untuk membayar gaji kita.

Sekarang saya sudah jelas apa yang saya mahu - saya kena bina bisnes yang untung.

Saya kena rangka strategi dan cara untuk saya ada bisnes yang untung.

Tapi bagaimana ?

Ini kita akan terokai lagi nanti....


Wednesday, October 21, 2026

Cara nak fikir strategi naik gaji RM10k sebulan


Duduk dan fikir dengan mendalam strateginya, kemudian setelah jelas strateginya, baru fikirkan taktiknya.

Strategi - apa yang anda mahu capai?
Taktik - cara untuk mencapai matlamat tersebut.

Contoh - 

Situasi A - anda mahu gaji RM10k sebulan. 

Macam mana nak buat?

Kalau saya, pertama saya akan lihat situasi saya sekarang.

Saya akan lihat gaji saya sekarang, berapa banyak ruang atau gap untuk sampai ke 10k tu?
Saya akan lihat tempat kerja saya sekarang, mampukah beri gaji sebanyak itu?
Level atau pangkat apa yang boleh dapat gaji sebanyak itu?

Apa skil yang saya ada?
Apa kekurangan saya?
Apa skil yang boleh dipelajari untuk capai matlamat tersebut?

Saya juga akan lihat bila saya nak capai matlamat tersebut?
Berapa lama masa untuk capai matlamat tersebut?
Adakah jangkamasa yang saya letakan itu sesuai atau tidak?

Saya juga akan lihat, kehidupan bagaimana yang saya mahukan?
Pesekitaran macam mana saya mahukan?

Adakah saya mahu capai pendapatan tersebut dengan bekerja dengan orang?

Mahu bekerja disyarikat orang atau mahu jadi freelancer?
Atau mahu bisnes sendiri?

Atau macam mana?

Kerana RM10k sebulan ini, tak semestinya kita boleh dapat melalui gaji saja.

Kita boleh juga dapat dari buat kerja sambilan, dari komisen, dari freelancer, dari bisnes, dari pelaburan  dan sebagainya.

Sebab itu mungkin juga kena tukar perkataan gaji RM10k sebulan tu kepada pendapatan RM10k sebulan.

Bezanya, gaji kita dapat dari bekerja dengan orang. 

Pendapatan ia lebih luas, ia boleh dapat dari gaji + komisen + kerja lebih masa + freelancer + bisnes + atau sebagainya.

Jadi kita kena tulis dan fikirkan semua jawapan tu.
Kena jelas sejelasnya.

Kerja berfikir merangkan strategi ni bukan kerja sehari.

Ia bukan kerja kita duduk sekali dan terus dapat.
Ia akan ambil masa.

Jadi kena sabar.

Tuesday, October 20, 2026

Hanya kerana anda sibuk dan berpeluh, itu tidak bermakna usaha anda berkesan.

Kenapa ada orang dia buat kerja tu bertahun-tahun lamanya, tapi dia masih belum capai hasil yang dia mahu? 

Contoh :-

*Situasi A - Sebelum ini gaji anda RM3k sebulan, selepas 2 tahun gaji anda masih sama atau naik sedikit saja. Walaupun anda rajin bekerja, ikut arahan dan sebagainya.

*Situasi B - Sebelum ini jualan anda RM30k sebulan, selepas 2 tahun. jualan anda masih sama sekitar RM30k saja. 

Walhal anda sudah berusaha dan buat macam-macam. Tapi masih lagi tak da perubahan.

Kenapa?

Antara sebabnya ialah kerja yang anda buat itu salah.
Ia tidak memberi sumbangan besar kepada matlamat anda.
Atau ia tidak ada leverage.

Kadangkala kita rasa kerja yang kita buat itu betul dah. 
Kita rasa sibuk, rasa kita sudah berusaha sehabis baik. 

Tapi malangnya kita tak tahu yang kerja kita buat itu tidak memberi hasil yang besar pada matlamat kita.

Ia hanya menunjukan kita rasa sibuk saja.

Hanya kerana anda sibuk dan berpeluh, itu tidak bermakna usaha anda berkesan.

Contoh dalam situasi di atas.

Situasi A - Gaji anda RM3k sebulan, anda buat kerja ikut SOP, ikut arahan, deliver KPI dan sebagainya. Bagus! 

Tapi untuk naik gaji ke tangga seterusnya ia tidak cukup. Anda perlukan tingkatkan skill anda yang lain. Anda perlu tunjukan kebolehan memimpin anda dan sebagainya.

Situasi B - Jualan anda RM30k sebulan. Setiap hari anda buat promosi jualan dan follow up pelanggan. Iya bagus.

Tapi untuk pergi ke tahap jualan seterusnya, RM70k atau RM100k sebulan, ia masih belum cukup. 

Anda mungkin kena lihat adakah target market itu masih sesuai? 
Adakah posisi anda dimata pelanggan itu betul?

Jadi apa yang perlu dibuat jika dalam situasi ini?

Kita lihat kembali kerja yang kita buat itu memberi sumbangan besar atau tidak pada matlamat?

Kena duduk dan fikir dengan mendalam tentang kerja yang kita buat itu - Adakah ia kerja yang betul atau tidak?

“It’s important to understand that doing the right thing (good strategy) is much more important than doing things right (good tactics).

“Strategy is about defining the end - goals. Tactics is about the means to those ends”

~ Jacob Lund Fisker, Writer


Monday, October 19, 2026

Ini cara saya memahami pelanggan atau target market.

Ada 3 cara yang saya gunakan untuk memahami pelanggan atau target market iaitu:-

1. Survey atau kaji selidik

Cara ini memang selalu saya gunakan.
Biasanya saya akan tawatkan insentif yang berkaitan dengan masalah yang mereka hadapi.
Contohnya - seperti free ebook atau panduan , checklist, free kelas online  dan sebagainya.

Insentif ini penting untuk galakan mereka isi borang survey.
Antara soalan yang saya akan tanya ialah:

*Apa masalah yang sedang dihadapi?
*Apa cabaran atau halangan yang sedang dihadapi?
*Apa perkara yang tidak puas hati?
*Apa solusi yang telah dicuba?


2. Menemubual atau interview

Ini biasanya saya akan telefon atau jumpa terus pelanggan.
Soalan masih sama seperti soalan survey, tapi bila berjumpa ini saya akan tanya lebih banyak.

Sudah tentu ada soalan-soalan tambahan seperti:-

*Apa skop kerja sekarang?
*Berapa lama sudah menghadapi masalah?
*Kenapa penting untuk selesaikan masalah?
*Sebagainya.

Temubual ata interview ini lagi bagus, sebab kita boleh tanya banyak soalan dan kita boleh lihat reaksi wajaj dan juga tone suara.

Jikalau anda pandai bertanya, anda akan dapat banyak maklumat dari sesi ini.

3. Memerhati tingkahlaku atau behaviour.

Ini biasanya kita akan lihat komen-komen dan juga soalan-soalan yang pelanggan atau target audience tanya di sosial media.

Sebenarnya, ada banyak maklumat atau info yang bernilai di sosial media sekiranya kita sedar tahu menggunakannya.

Kita boleh check dekat review-review produk di platform seperti Amazon, Shoppee dan sebagaianya.

Kita boleh lihat komen-komen, keluhan dan pertanyaan orang di sosial media seperti Facebook, Thread, TikTok dan sebagainya.

Sebab itu, bila kita melayari internet janganlah kita hanya sekadar habiskan masa saja.Kita kena ada satu objektif memahami audience.

 Kita kena  hidupkan sensor kita untuk memahami mereka.


Survey, interview ,temubual dan memerhati tingkah laku orang ini menjurus kepada satu objektif saja iaitu memahami mereka.

Kita mahu tahu masalah, halangan, keluhan, kesakitan, kesusahan, cabaran dan impian mereka.

Kita mahu lihat tanda-tanda atau signal itu pada mereka.


Sunday, October 18, 2026

Kenapa semata-mata leverage saja tidak cukup untuk berjaya?

Dengan leverage kita dapat menggandakan hasil dari kerja yang kita pilih. 

Tapi, adakah semata-mata leverage sudah cukup untuk anda dapat hasil yang kita mahu? 

Sudah tentu tidak, leverage tidak akan berdiri dengan sendiri. Dia memerlukan keputusan atau pilihan yang betul. 

Katakanlah leverage = 1

Pilihan atau keputusan yang salah = 0

Jadi 1 x 0 =0

Kalau leverage berganda pun hasilnya tetap 0. 

2 x 0 = 0

3 x 0 = 0

4 x 0 = 0

Jadi apa yang penting ialah pilihan atau keputusan yang anda buat. 

Contoh. 

Dalam proses berkomunikasi. 

Sebelum adanya sosial media seperti Facebook, Tik Tik, Thread dan selainnya, kita hanya boleh menyampai mesej terhad kepada beberapa orang saja. 

Tapi dengan adanya sosial media kita dapat menyampaikan mesej kepada beribu orang dengan cepat dan mudah. Ianya murah dan boleh diautomasi. 

Tapi kan, kalaulah mesej yang disampaikan itu salah. 

Target audience pun salah, adakah mesej yang dihantar atau disebarkan itu ada hasil? 

Sudah tentu tidak hasil. 

Tapi jikalau, target audience dan mesej yang anda pilih itu betul, tanpa leverage pun anda akan dapat hasilnya walaupun lambat. 

Leverage hanya membantu menggandakan hasil. 

Kalau sebelum ada sosial media anda hanya boleh menyampaikan mesej kepada 100 orang yang betul. 

Dengan adanya leverage pada sosial media, anda boleh sampai mesej kepada 10,000 ribu orang. 

Kesimpulannya, leverage itu hanya membantu menggandakan hasil saja, yang lebih penting keputusan atau pilihan anda. 

Soalan, 

Bagaimana nak buat keputusan atau pilihan yang betul?

Saturday, October 17, 2026

Cara menghadapi cabaran kenal pelanggan 2

Biasanya, orang tak suka atau malas nak isi borang survey atau kaji selidik, melainkan memang mereka nakkan insentif atau tawaran yang kita beri selepas mereka isi borang. 

Itupun selalunya mereka isi sekadarnya, tak isi sunguh-sungguh, jawapan pendek ja, tak menjawab soalan pun. 

Ada diantara mereka hanya sekadar jawab untuk dapatkan insentif tersebut. 

Mereka sedar dan tahu mereka ada masalah tapi susah nak terangkan apa yang mereka hadapi. 

Perkara itu ada dalam minda mereka, mereka rasai masalah tu, tapi bila kita minta mereka tulis dan terangkan, mereka tak mampu nak terangkan dengan jelas. 

Antara sebabnya, mungkin mereka tak biasa menulis dan berfikir dengan mendalam. 

Nak berfikir dengan mendalam untuk gali masalah yang kita rasai, dan terangkan dengan jelas ni susah. 

Ia perlukan masa dan fokus. Lagi-lagi bagi orang yang tak biasa buat, memang susah nak keluar benda. 

Jadi untuk kita yang buat survey tu, antara perkara yang kita boleh buat ialah :-

1.Insentif mesti berkaitan dengan masalah yang mereka hadapi. Contoh mungkin boleh berikan ebook panduan yang boleh selesaikan masalah mereka setelah isi borang survey. Atau, senarai checklist yang boleh selesaikan masalah mereka dan sebagainya. 

Jangan beri perkara atau hadiah yang tak berkaitan dengan masalah kerana ia akan menarik orang yang tak berkaitan diluar target market kita. 

2.Ubah-ubah soalan atau tambah soalan yang berkaitan. Kadang kita ingat soalan itu dah cukup untuk kita faham pelanggan, tapi bila mereka isi, jawapan tu tak memuaskan hati kita, kita tak dapat faham mereka. 

Jadi boleh ja kita tukar soalan atau tambah soalan supaya kita dapat jawapan yang kita mahu. 

3.Lihat patern jawapan. Bila kita terima jawapan dari pelanggan, bukanlah kita ambil bulat-bulat jawapan tersebut. Seperti yang kita faham pelanggan pun bukan tahu dan sedar apa yang mereka mahu. 

Bak kata Henry Ford, bila ditanya kepada pelanggan apa yang mereka mahu, mereka akan jawap, mereka mahukan kuda yang pantas. 

Sebab itu, kita kena lihat patern jawapan. Kata orang read between the line.


Friday, October 16, 2026

Kenapa kita kena berani terokai dunia yang luas ini?

Dunia yang kita duduki ini sangat luas.

Ada banyak perkara yang belum kita terokai.
Kita hanya tahu hasilnya apabila kita berani untuk terokai.

Ada banyak masalah, idea, solusi, cara, tips yang ada dalam dunia ini.

Setiap orang ada masalah yang dihadapi. 

Masalah tak cukup duit.
Masalah di tempat kerja.
Masalah hubungan.
Masalah teknologi.
Masalah anak-anak.
Masalah perniagaan dan sebagainya. 

Ada 1001 masalah.

Semua masalah hidup ini ada penyelesaiannya.
Ia boleh diselesaikan dengan banyak cara.

Ada orang, dia hanya boleh fikir satu cara saja untuk selesaikan masalah tersebut. 
Sebab itu masalah dia tak selesai.

Walhal, sebenarnya dunia itu luas, ada banyak cara untuk selesaikan.

Atau ada orang dia tahu banyak cara untuk selesaikan masalah tersebut, tapi dia tak guna.

Kenapa tak guna? 

Mungkin sebab dia takut gagal, takut risiko, takut tak da hasil. 

Ada juga masalah yang perlukan cara atau solusi yang kreatif untuk diselesaikan. 

Contohnya -

Masalah yang berkaitan teknologi. 
Masalah yang berkaitan dengan seni. 

Ia perlu dianalisa dan diujikaji.
Biasanya kita akan jumpa banyak kesalahan dan kegagalan. 

Sebab itu ia perlukan ruang dan masa untuk diterokai.
Kita perlu masa untuk belajar dan perbaiki.

Kita perlu berani.
Berani tanggung risiko kegagalan.
Berani bersendiri.

Nak buat benda ini susah.
Sebab itu tak ramai yang nak buat.

Tapi ia boleh dibuat dan berbaloi untuk dibuat.


Cara menghadapi cabaran kenal pelanggan 1

Apa cara atau solusi untuk menghadapi cabaran mengenal pelanggan ni?


Ini antaranya:-

1.Berfikir jangka panjang.

Kita kena tukar cara berfikir kita dari melihat jangka pendek kepada melihat jangka panjang.
Kejayaan memerlukan masa. Ia tidak datang dalam masa yang singkat.

Tidak ada jalan pintas untuk capai kejayaan.
Terutamanya, jika impian atau matlamat kita itu besar.

Sudah tentu ia memerlukan proses yang panjang.

Ianya hukum alam.
Begitulah alam ini berfungsi dan bergerak.
Kita tidak akan mampu melawanya.

2.Jangan terdesak.

Kenapa ada orang tak boleh bersabar dengan masa yang panjang?

Kerana mereka mahu melihat hasilnya cepat.
Mereka sangat memerlukan hasil tersebut.
Mereka sedang terdesak dengan keadaan hidup mereka.


Biasanya orang akan terdesak dengan duit.
Mereka memerlukan duit untuk menampung kehidupan asas dia.
Mereka perlukan duit untuk bayar segala bil.

Sebab itu, saya sangat sarankan kepada anda yang nak menerokai sesuatu perkara baru seperti baru nak buat bisnes, nak tukar kerja atau sebagainya, kita kena hidup sekadarnya.

Hidup di bawah pendapatan kita setiap bulan.
Jangan hidup lebih dari pendapatan bulanan.
Berjimatlah buat sementara, potong lah mana yang perlu dipotong dan tahan nafsu kehendak kita.

Sebab kita mahukan lebihan setiap bulan.
Lebihan ini kita boleh simpan untuk bina ruang kita bertahan menunggu hasil dalam jangka masa yang panjang.

Saya suka analogi Seth Godin beri - dia kata maksudnya lebih kurang.

"Kalau anda mahu mendaki gunung yang tinggi, jangan bawa beban yang banyak pada diri anda, bawa perkara yang asas saja"

Begitu juga dengan diri kita ni, kalau kita nak terokai peluang baru, buat perkara yang baru, yang kita pun tak tahu hasilnya, jangan hidup mengikut kehendak. 

Hidup sekadarnya dulu.
Apa yang penting, pastikan keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, kenderaan dan sebagainya itu mencukupi.

Barulah hati dan fikiran kita tenang.
Orang yang tenang selalu menang.

Thursday, October 15, 2026

Cabaran nak faham dan kenal pelanggan 2

Setelah kita faham yang cabaran utama dalam mengenal pelanggan bermula dari diri kita sendiri, kita  juga kena faham yang pelanggan itu sendiri adalah cabaran untuk kita juga.

Apa antaranya:

1. Pelanggan senyap dan tak beri respon.

Antara cara untuk kita faham dan kenal pelanggan ialah dengan minta pelanggan isi borang kaji selidik (survey). Kita akan tanya soalan-soalan yang kita mahu tahu seperti:-

*Apa masalah terbesar yang mereka hadapi?
*Apa cabaran atau halangan yang mereka hadapi?
*Apa solusi yang mereka dah cuba dan sebagainya.

Kita mengharapkan pelanggan atau audience isi borang tersebut.
Dan biasanya tak ramai yang nak isi borang kaji selidik tersebut.

Lagi-lagi, soalan yang ditanya tu memerlukan pelanggan berfikir.
Memang susah pelanggan nak respon.

2. Pelanggan tak menjawab soalan.

Ini pun biasa juga terjadi. 
Kita tanya dan terangkan soalan dengan panjang, sekali jawapan dari pelanggan 1 atau 2 perkataan saja. Kalau yang rajin sikit 1 baris saja. Kadang tu tak menjawab soalan pun. 
Mereka sekadar isi saja nak dapatkan hadiah yang kita tawarkan.

Kenapa perkara ini terjadi?

Kita kena faham ada 2 kategori pelanggan.

Kategori 1 - pelanggan yang memang series nak jawab soalan, dia memang ada masalah yang kita tawarkan solusi tu. 

Dan mungkin dia dalam kategori target market kita. Tapi dia tak tahu nak tulis apa. 
Dia tak tahu terangkan masalah dia. 

Ramai orang ada masalah ini. 
Dia dapat rasa yang dia ada masalah, tapi tak boleh nak terangkan masalah tersebut. 

Sebab itu mereka jawab pendek saja. Atau tak isi langsung borang tersebut.

Kategori 2 - pelanggan ini mungkin ada masalah yang kita tawarkan solusi tu, tapi jenis malas nak isi borang, dia hanya nak hadiah yang kita tawarkan itu ja.

Mereka hanya sekadar isi saja lah tanpa perlu terangkan dengan panjang. 

Ada setengah tu, walaupun kita letakan syarat jawapan kena melebihi beberapa patah perkataan, mereka akan letak "XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX" ja sampai cukup jumlah patah perkataan tu.

Bila kita terima jawapan yang tak memberangsangkan ni, susahlah kita nak fahami mereka ni.

Apa solusi dia? Nanti kita akan explore...

Wednesday, October 14, 2026

Cabaran nak kenal dan faham pelanggan 1

Kita sudah faham beberapa idea atau konsep iaitu :-

*Dan untuk kenal dan faham kita perlu buat kajian tentang orang itu. 

Kita pun faham, nak buat semua idea ini susah....
Ada banyak halangan dan cabaran.

Sebab itu ramai yang tak buat.

Apa antara cabaran tersebut?

Ini antaranya:-

Cabaran dari diri sendiri.

1.Kita tak sabar.

Kita tak sabar nak nampak hasil. 
Kita nak cepat, kita nak shortcut.
Nak buat benda ini akan ambil masa lama. 
Berapa lama? Tak tahu.
Bergantung pada situasi dan diri kita. 
Kalau kita tak pernah buat sebelum ini, baru nak mula, baru belajar, masih takda skil, sudah tentu lama...

2.Terdesak.

Antara sebab kita tak sabar dan nak hasil cepat kerana kita terdesak.
Kita perlukan duit untuk tampung perbelanjaan dan bayar bil.
Kita perlukan ramai pelanggan untuk tampung kos bisnes.

3.FOMO 

Ramai orang berkongsi tentang kejayaan mereka di sosial media.
Orang A dapat jualan juta-juta.
Orang B buat bisnes ni untung gila-gila.
Orang C tunjuk kehidupan mewah dia.
Dan sebagainya.

Kita yang selalu tengok ni rasa FOMO - fear of missing out.
Kita rasa tak nak ketinggalan.
Kita rasa rugi kalau tak ambil peluang tu.

Ini semua akan mempengaruhi emosi kita.
Ia menyebabkan kita tak sabar, kita mahu cepat lihat hasil.
Kita tak senang duduk untuk fikir.
Kita nak bergerak - fast action, fast result katanya....

Tuesday, October 13, 2026

Bagaimana nak kenal dan faham orang?

Antara cara untuk capai apa yang kita mahu dalam hidup ini ialah dengan kita bantu orang capai apa yang dia mahu.

Apa yang orang mahu?

Orang mahu capai impian dan selesaikan masalah dia.

Bagaimana nak tahu impian dan masalah orang?

Kita kena lah kenali mereka. Fahami mereka. 
Sebab itu dalam bidang pemasaran adanya terma kajian pelanggan.

Kita kena kaji pelanggan atau orang sedalam-dalamnya.
Kita kena fahami dan selami kehidupan seharian dia.

Apa masalah terbesar yang dia hadapi?
Apa kesakitan dia?
Apa perkara yang sentiasa bermain difikiran dia?
Apa perkara yang menyebabkan dia tak tidur malam memikirkannya.?
Apa perkara yang dia marah?
Apa perkara yang dia takut?

Apa perkara pertama yang dia fikirkan bila bangun pagi?
Apa impian dia,?
Apa yang dia mahu capai?
Apa motivasi terbesar dia?

Apa yang dia telah buat untuk selesaikan masalah dia?
Apa cabaran yang dia hadapi?
Apa halangan dia?

Dan sebagainya.

Nak buat benda tak senang. Ia susah.
Ia perlukan masa.

Kadang-kadang pelanggan atau orang yang kita tanya itu pun tak boleh nak jawab soalan tu.
Mereka pun tak tahu apa yang mereka mahu.
Mereka pun tak sedar masalah mereka.

Sebab itu kita sendiri kena sabar.
Kita sendiri kena gali dan ada empati.

Kita sendiri kena beriya-iya untuk tahu dan faham pelanggan lebih dari diri pelanggan itu sendiri.

Kita sendiri kena tanamkan dalam diri yang kita betul-betul nak bantu dia, kita betul-betul ambil berat tentang dia.

Betul ia susah, tapi ia boleh dilakukan dan berbaloi untuk dilakukan.

Monday, October 12, 2026

Bagaimana nak bantu orang capai apa yang dia mahu?

 Apa yang orang mahu dalam hidup ini? 

Simple ja sebenarnya, orang mahukan "gain" dan tak mahukan "pain".

Gain atau manfaat - orang mahukan manfaat untuk diri sendiri, mereka mahukan untung, mahu mudah, mahukan faedah atau hasil yang positif untuk diri dia sendiri.

Dengan kata lain - orang mahu capai impian dia.

Pain atau kesakitan - orang tak mahu susah, orang tak mahu sakit, orang tak mahu perkara yang negatif berlaku pada diri dia.

Dengan kata lain - orang tak mahu masalah.

Jadi apa yang orang mahu?

Orang mahu capai impian dan tak mahu masalah.

Oleh itu, jika anda mampu bantu orang untuk capai impian dan selesaikan maalah dia, anda akan dapat yang anda mahu.

Orang sanggup bayar anda tinggi jika anda mampu bantu mereka capai impian dan selesaikan masalah mereka.

Lagi besar impian yang mahu dicapai, lagi besar masalah yang mahu diselesaikan, lagi tinggi bayaran anda.

Tapi bagaimana caranya?

Sudah tentu anda kena kenal dan faham mereka.

Dalam bahasa marketing - kenal pelanggan atau audience.

Anda kena kenal dan faham apa masalah terbesar mereka.
Anda kena faham apa yang mereka mahu capai atau impikan.

Anda kena kenal dan faham sedalam-dalamnya.
Anda kena kenal dan faham diri mereka lebih dari diri mereka sendiri.

Simple je kan...

Buat benda ini dengan sungguh-sungguh, anda akan dapat apa yang anda mahu, InshaAllah..

Sunday, October 11, 2026

Perjalanan kita yang singkat.

Semalam jiran satu qariah surau Jami Qarimah meninggal dunia. Umur lebih kurang 47. Dikirakan masih muda lagi. Belum sampai 50. Mati sakit jantung. Hari tu kawan dan juga trainer En Naza meninggal lebih kurang umur 40 an juga. Allaah.. 

Semoga Allah ampunkan dosa jiran saya ini, dan en Naza. 

Inilah realiti hidup ini. Semua orang akan mati. Semua orang sedang menunggu giliran sebenarnya. Sampai masa ia tidak akan lambat atau cepat. Singkat sebenarnya kehidupan kita ni. Iya, kita bekerja dan berusaha mencari dunia, tetapi yang pasti Akhirat itu mesti jangan dilupa.

Dan dunia yang kita cari ini pun sebenarnya adalah antara persediaan kita untuk menghadapi mati nanti. 

Kata nabi, Mafhumnya atau maksudnya lebih kurang - orang yang bijak adalah orang yang sentiasa mengingati mati dan buat persediaan menghadapinya. Dan persediaan itu adalah taqwa.

Apa itu taqwa? Bahasa mudahnya ialah tinggal segala yang Allah larang, dan buat segala apa yang Allah perintahkan.

Macam mana nak buat benda ini? Apa yang Allah larang? Apa yang Allah perintahkan?

Ini semua kena belajar. Ini semua kena ada ilmu. Macam mana kita nak buat semua ini tanpa ilmu. 

Ilmu apa yang kita kena belajar? Sudah tentu kena belajar ilmu fardhu ain - iaitu sebahagian ilmu agama yang wajib semua muslim yang mukallaf mengetahuinya, kalau tak tahu dan tak belajar maka berdosa. 

Sebab itu ulama ada kata mafhumnya, jika Allah mahukan kebaikan pada seseorang itu, Allah akan mudahkan seseorang itu untuk menuntut ilmu. Di sini maksudnya ilmu agama dan yang penting ilmu fardhun ain. 

Semoga Allah ampunkan dosa-dosa kita semua. Allah mudahkan kita untuk belajar ilmu agama. Allah bantu kita dalam hidup ini supaya kita tidak lalai dengan dunia ini. Dan Allah matikan kita semua dalam keadaan yang baik, dalam khusnul khatimah... Amin.. 

Saturday, October 10, 2026

Ini cara untuk kita dapatkan apa yang kita mahu dalam hidup.

Apa yang orang mahu dalam hidup?

Orang mahu capai impian dan selesaikan masalah dia. 

Kalau kita dapat bantu orang capai impian dan selesaikan masalah dia, kita akan dapat apa yang kita nak juga. 

Ini hukum imbal balik atau reciprocity. Ia hukum alam. Manusia cenderung untuk balas balik seperti mana orang untuk buat pada dia.

Contoh beberapa situasi berikut:

Katakanlah anda berdiri dihadapan lif atau elavator.

Situasi 1 - Lif terbuka, ada beberapa orang yang anda tidak kenal di dalam. Anda masuk, senyum dan beri salam atau ucap selamat pagi atau petang. Apa respon orang di dalam lif tu? Saya pasti biasanya, 90 peratus atau 95 peratus atau 99 peratus akan senyum balik, jawab salam atau balas ucapan kepada anda. Ini prinsip imbal balik. 

Situasi 2 - sama lif terbuka dan ada beberapa orang yang anda tidak kenal di dalam lif. Anda masuk ke dalam lif dengan muka yang masam, anda mendengus dan mengomel. Apa respon atau reaksi orang di dalam? Mungkin ada yang buat muka masam, atau mungkin ada yang mendengus atau jika tidak pun dalam hati mereka tentu akan rasa tidak senang pada anda. Ini prinsip imbal balik.

Situasi 3 - sama lif terbuka dan ada beberapa orang yang anda tidak kenal di hadapan anda. Anda masuk diam dan tidak berbuat apa-apa. Apa respon dan reaksi orang di dalam? Mereka juga akan senyap dan tak buat apa-apa. Apa yang anda dapat? Anda juga tak dapat apa-apa. Ini prinsip imbal balik.

Perkara atau prinsip ini berlaku di mana-mana. Ia hukum alam. Ia logik alam. Saya pasti anda juga pernah merasai atau mengalami benda ini.

Mahu disayangi? Sayangi orang dulu. 
Mahu didengari? Dengari orang dulu. 
Mahu dicintai? Cintai orang dulu. 

Dari sini kita faham, buat dulu, beri dulu, beri kebaikan, beri manfaat pada orang. InshaAllah anda akan dapat apa yang anda beri, anda akan dapat apa yang anda mahu.

Simple dan mudah ja prinsip ini. Tapi kan, walaupun ia simple dan mudah difahami, kenapa ramai orang masih tak buat benda ni?

Ada sebabnya, nanti saya akan kongsi di posting lain. 

Friday, October 9, 2026

Rahsia menang dalam persaingan.

 Zig Zaglar, seorang penulis dana pakar motivasi jualan terkenal dia kata:-

"You can have everything in life you want, if you will just help other people get what they want.

Maksudnya lebih kurang, anda akan dapat apa saja yang anda mahu dalam hidup jika anda bantu orang dapat apa yang mereka mahu.

Ini lah rahsia yang bukan rahsia bagaimana untuk kita menang dalam persaingan.

Terutamanya dalam zaman sekarang ini. 

Zaman yang penuh dengan ketidaktentuan (uncertainty).
Zaman yang orang semua nak cepat, mudah dan suka short cut.
Zaman yang teknologi yang penuh dengan leverage.
Zaman maklumat bersepah, maklumat dihujung jari.


Kenapa tak perlu bersaing? 

Sebab kita lain. Kita unik dan RARE.
Jadi persaingan tak relevant atau berkaitan dengan kita.

Kita fokus amalkan kata-kata Zig Zaglar seperti kat atas tu.

Kita fokus bantu orang untuk capai apa yang mereka mahu.
Dan , secara adatnya kita juga akan capai apa yang kita mahu.

Apa yang orang mahu dalam hidup?

Orang mahu capai impian dan selesaikan masalah dia. Itu ja.

Simple je kan idea ni. 
Ramai orang tahu benda ni, tapi kenapa masih struggle?

Sebab benda ni susah.
Tapi, ia boleh dibuat.

Dan ramai je yang berjaya buat.

Macam mana nak buat?

Kita akan explore nanti.... :)

Thursday, October 8, 2026

Cara nak menang dalam persaingan sekarang ini?

Sekarang persaingan sangat tinggi. 
Tidak kira anda berbisnes atau bekerja dengan syarikat.

Jika anda berbisnes, anda bersaing dengan syarikat lain untuk mendapatkan pelanggan.
Jika anda bekerja dalam syarikat, anda bersaing dengan rakan sekerja yang lain untuk naik pangkat, untuk dapat kenaikan gaji dan sebagainya.

Jadi bagaimana untuk kita menang dalam persaingan ini?

Ada orang jawab, jangan bersaing. 
Apa maksudnya jangan bersaing?

Jangan fokus pada pesaing, jangan tiru apa yang pesaing buat.

Orang yang fokus pada bersaing, dia akan sentiasa berlawan dengan pesaing.
Rugi macam ni.

Contoh, Syarikat A mahu bersaing dengan syarikat B.

Syarikat B kata harga dia murah, syarikat A juga akan kata harga dia murah.
Syarikat B turun kan harga, syarikat A juga turunkan harga.

Syarikat A beri promosi, syarikat B beri promosi.
Syarikat B kata produk dia cepat, syarikat A juga kata produk dia lagi cepat.

Begitulah seterusnya, sampai satu keadaan dimana syarikat ini rugi, syarikat ini tiada apa lagi tawaran yang mahu ditawarkan.

Kenapa?

Kerana akan sentiasa ada syarikat yang sanggup turun harga sekiranya mahu berlawan dengan harga murah,

Akan sentiasa ada syarikat yang sanggup beri macam-macam promosi untuk menang.

Jadi apa solusi?
Bagaimana nak menang dalam persaingan?

Jangan bersaing.
Jangan masuk dalam game persaingan tersebut.
Bila kita tak masuk game persaingan, ia menjadikan persaingan itu tidak berkaitan dengan kita.

Jadi nak fokus pada apa?
Fokus pada beri nilai kepada pelanggan.
Fokus selesaikan masalah pelanggan.
Fokus bantu pelanggan dapatkan apa yang mereka mahu.

Tapi bagaimana nak buat ni?

Ini saya akan kongsi dalam posting akan datang.

Wednesday, October 7, 2026

Cara berfikir dan buat keputusan dalam era AI

Kita tidak boleh menghalang AI untuk berkembang. 
Kita tak mampu nak halang AI untuk berkembang. 

Oleh itu, ada 2 pilihan saja sama ada kita ketinggalan atau kita ikut dan berkembang bersama AI. 

Jadikan AI sebagai kawan kita.
Jadikan AI pembantu untuk capai matlamat yang kita mahu.

Kita sudah faham AI ada leverage. 
AI dapat menggandakan hasil yang kita mahu. 

Tapi bagaimana nak gunakan AI ni? 
Bagaimana nak guna leverage ini?

Bagi menjawab soalan ini, kita kena faham bagaimana leverage berfungsi.

Leverage ialah pengganda kepada apa yang kita buat. 
Kalau kerja yang kita buat itu betul maka ia akan menggandakan yang betul, tapi kalau kerja yang kita buat itu salah maka ia akan menggandakan kepada perkara yang salah atau tidak hasil langsung.

Analoginya.

Kerja yang betul sama dengan =1.
Kerja yang salah sama dengan = 0.

Kerja yang betul 
1 x 1 = 1
1 x 2 = 2
1 x 3 = 3
1 x 4 = 4
1 x 5 = 5

Dan seterusnya.

Kerja yang salah
0 x 1 = 0
0 x 2 = 0
0 x 3 = 0
0 x 4 = 0
0 x 5 = 0

Dan seterusnya.

Kerja yang salah tidak boleh digandakan walaupun ada leverage.

Apa maksudnya di sini? 
Maksudnya ialah leverage itu bukan isu utama, kerana leverage itu hanyalah alat saja.

Apa yang paling penting dari utama ialah kerja yang anda pilih itu.
 Anda pilih kerja yang betul atau salah?

Kalau kerja yang anda pilih itu betul tanpa leverage pun anda tetap dapat hasil, walaupun lambat.

Tapi, kalau kerja yang anda pilih itu salah, dengan leverage pun anda tidak akan dapat hasil.

Saya bagi contoh mudah nampak – pisau adalah alat memotong. 
Ia ada leverage.

Kalau kita potong sayur dengan pisau, hasilnya cepat – ada leverage.

Kalau kita potong pokok dengan pisau, apa hasilnya? 
Sudah tentu sudah susah atau tidak berhasil. 

Kita salah pilih kerja. 
Kita guna alat yang salah.

Sama juga dengan alat-alat lain seperti AI. 
AI tu memang sudah ada dan tersedia untuk digunakan. 

Cuma kita saja yang kena pandai untuk pilih kerja.

Bagaimana mahu pilih kerja yang betul? 

Ini saya akan kupas dalam posting seterusnya.

Tuesday, October 6, 2026

Nak ubah hidup? Kena ada leverage.

Nak ubah hidup? 
Kena pandai cari leverage. Leverage ialah konsep yang ramai orang tak perasan.
Sekarang ini, kita dalam dunia moden yang ada banyak leverage. Kalau boleh, semua tindakan kita mahu ada leverage.
Apa itu leverage?
Naval Ravikant , seorang pelabur terkenal di US, dia kata.
"Leverage is a force multiplier for your judgment"
Leverage ialah pengganda kepada kesan keputusan atau pilihan yang kita buat.
Atau bahasa mudahnya:
Kerja yang kita buat sikit tapi hasilnya berganda.Atau kerja yang kita buat sekali tapi hasilnya berkali-kali.
Leverage ini kita boleh jumpa pada banyak benda.
Apa contoh leverage sekarang ini?
Ini leverage dalam proses berkomunikasi.
Sebelum ada telefon, orang dulu berinteraksi atau menyampaikan mesej menggunakan surat.
Ia lambat dan hanya boleh sampaikan mesej pada seorang saja. 
Ia takda leverage.
Selepas ada telefon mesej boleh dihantar dengan lebih cepat. Maksudnya, telefon ada leverage dari menghantar surat.
Selepas itu, ada radio dan televisyen.

Orang boleh menghantar mesej dengan lebih cepat dan boleh sebarkan mesej atau maklumat kepada ramai orang.
Radio dan televisyen ada leverage yang besar berbanding telefon dan surat.Tetapi, kosnya mahal.
Hanya syarikat-syarikat besar yang banyak duit saja mampu keluar radio dan televisyen pada waktu itu.
Kemudian datang internet.
Orang boleh hantar mesej dengan menggunakan email. Ia lebih cepat, boleh hantar kepada ramai orang dan kosnya juga murah. Internet dan email ada lebih leverage yang besar.
Kemudian, sekarang ini ada sosial media seperti Facebook, Tiktok, Thread dan sebagainya. Orang boleh sebarkan mesej kepada beribu orang dengan cepat.

Ia murah dan boleh diautomasi.Ia boleh digunakan oleh semua orang.
Sosial media ada leverage yang besar dalam proses berkomunikasi.
Kita tulis mesej sekali, hasilnya boleh berkali-kali, malah berpuluh kali ganda.

Itu lah leverage. 
Teknologi yang kita ada sekarang ini memberi leverage besar pada kita.
Sebab itu, Peter Thiel seorang pelabur terkenal juga di US.
Dia kata - “Technology is miraculous because it allows us to do more with less.”
“Teknologi itu luar biasa kerana ia membolehkan kita menghasilkan lebih banyak dengan menggunakan sumber yang lebih sedikit atau terhad.
Itulah  konsep leverage.

Orang yang bijak dan berjaya akan sentiasa cari leverage dalam kerja dia. 
Tapi, leverage semata-mata tidak akan menyebabkan kita kaya dan berjaya.
Ada perkara lain yang lebih penting dari leverage.
Perkara itu kita akan terokai di post akan datang.

Bagaimana nak bina bisnes ketika kita tiada apa-apa?

Kita tiada modal, tiada kenalan, tiada pengalaman, tiada idea nak jual apa. Kita betul-betul kosong. Apa nak buat? Di mana nak mula? Mula de...