Monday, August 11, 2025

4 Perangkap dalam membuat keputusan & cara mengatasinya.

Hidup kita hari ini ialah hasil dari keputusan atau pilihan yang kita buat sebelum ini.

3 tahun lepas, kita pilih untuk tak sambung belajar. Kita nak duit cepat, terus masuk kerja. Hari ini kita sedar yang gaji susah nak naik. Ia terhenti pada satu tahap.

5 tahun lepas, kita pilih kekal di syarikat sekarang walaupun banyak kerja. Hasilnya, kita ada banyak pengalaman dan dinaikkan pangkat.

10 tahun lepas, kita ambil risiko berhenti kerja dan bina perniagaan yang kita minat. Hari ini, kita sudah ada rangkaian bisnes yang berkembang.

Dari sini kita boleh lihat kemahiran membuat keputusan yang betul adalah salah satu skil penting dalam hidup kita.

=
4 Proses dalam membuat keputusan.

Secara asasnya, ada 4 proses yang terlibat ketika kita membuat keputusan.

1. Kita cari pilihan yang ada.
2. Kita analisa pilihan tersebut.
3. Kita buat keputusan.
4. Kita terima keputusan itu.

Nampak mudah, tapi setiap proses ada perangkap tersembunyi yang boleh buat kita silap langkah.

=
4 perangkap dalam membuat keputusan
=

1. Menyempitkan pilihan: “OR” vs “AND”


Kebanyakan kita suka berfikir dalam bentuk "sama ada – atau" ketika mencari pilihan.

Contohnya:
“Nak berhenti kerja ATAU kekal di sini?”
“Nak sambung belajar ATAU terus kerja?”

Kita suka nak sempitkan pandangan atau pilihan yang ada.
Kita suka nak pilih antara satu.

Contoh: Ali bekerja di ABC Sdn Bhd. Gaji okay, suasana kerja baik. 
Tapi beban kerja buat dia stres.

Jadi pilihan yang biasa orang akan terfikir ialah - berhenti kerja ATAU terus bertahan? 

Sebenarnya, Ali tak perlu pilih salah satu.
Dia boleh saja pilih dua-dua.
Dia boleh tambah pilihan lain juga.
Dia boleh besarkan pandangan dan pilihan dia.

Contoh - Ali boleh “Kekal di syarikat DAN bincang dengan bos untuk kurangkan beban kerja.”

Ini dipanggil prinsip “Genius of the AND” oleh Jim Collins dalam buku Built to Last.

Ada satu study yang dibuat oleh pengkaji dari "faculty business of school, Ohio State University, US".

Pengkaji telah kumpul data dan interview pembuat keputusan seperti CEO dan COO syarikat di US. 
Didapati keputusan yang dibuat mengikut kaedah "whether OR" , 52% gagal dalam jangka masa yang panjang. 

 Berlawanan dengan yang tidak menggunakan kaedah "whether OR" , hanya 32% saja yang gagal. 

Kenapa kaedah "whether OR" ini gagal? 

Apabila seorang pengurus itu menggunakan kaedah "whether OR" dia hanya fokus pada 1 pilihan saja. Dia menghabiskan banyak masa dengan bertanya soalan: 

Bagaimana saya nak jadikan pilihan ini menjadi? 
Bagaimana saya nak rakan sekerja lain menyokong saya? 

 Dia telah mengabaikan soalan yang lagi penting dari itu iaitu: 

Ada tak cara lain yang lebih berkesan? Apa lagi pilihan yang kita boleh buat?  

Jadi, jangan sempitkan pilihan. Buka fikiran. Cari “AND”, bukan hanya “OR”.

=

2. Confirmation Bias - Kita percaya apa yang kita nak percaya saja.

Dalam proses menganalisa pilihan, kita akan cari maklumat yang menyokong kita dan tolak semua yang bercanggah apabila kita sudah cenderung pada satu-satu pilihan. 

Ini bias paling berbahaya. Kita rasa kita buat keputusan rasional, tapi sebenarnya kita sedang mempertahankan ego dan pendapat sendiri.

Daniel Kahneman, seorang ahli Psikologi terkenal, dia panggil ini "Confirmation Bias" dalam membuat keputusan.

“A confirmation bias is a tendency to search for, interpret, and remember information in a way that confirms one’s preconceptions.”

Maksudnya lebih kurang, kalau kita sudah ada kecenderungan pada satu-satu pilihan kita akan cari maklumat lain untuk mengukuhkah dan menyokong lagi kecenderungan kita itu.

Macam mana nak elakkan confirmation bias?

1.Tanya soalan provokasi seperti:-

Betul ke pandangan aku ni? Kalau aku salah macam mana?
Ada tak orang yang fikir berbeza dari aku? Apa hujah mereka?

2. Dapatkan perspektif luar. Tanya orang lain yang kita percayai seperti mentor atau yang pernah lalui situasi sama. Baca buku yang berlawanan dari kecenderungan kita.

3. Buat eksperimen kecil. 

Contoh dalam bisnes - Jangan terus melabur besar, uji dulu dengan langkah kecil.
Buat pre-order dulu sebelum keluarkan produk. Kalau tak dapat sambutan, kita boleh ubah strategi tanpa kerugian besar.

=

3. Terperangkap dengan emosi jangka pendek

Manusia secara semulajadi membuat keputusan mengikut emosi (Sistem 1). Kemudian akan mencari alasan yang logik untuk menyokong keputusan tersebut (Sistem 2).

Dalam buku "Thinking, Fast and Slow," Penulis - Danial Kahneman ada terangkan pasal sistem ni.

Dia kata, otak kita ni ada 2 sistem berfikir, iaitu:-

1. Sistem 1 → Cepat, automatik, emosi.
2. Sistem 2 → Perlahan, analitikal, logikal.

Bila membuat keputusan ketika beremosi - sama ada marah, teruja, takut atau gembira - sistem 1 akan mengawal sepenuhnya keputusan kita. Biasanya kita akan melihat hasil dalam jangka masa yang pendek saja. Kita tidak lihat hasil atau akibat dalam jangka masa yang panjang.

Sebab itu kita mudah membuat keputusan atau keputusan yang salah.

Keputusan yang baik dan betul biasanya perlu keterlibatan berfikir dengan sistem 2. Ia perlu berdasarkan logik jangka panjang, bukan emosi yang sekejap.

Contoh yang biasa kita jumpa - Anda pergi seminar jualan yang hype. Jurujual tunjuk kereta mewah, rumah besar, duit berkepuk. Anda rasa seronok dan teruja melihatnya.

Tiba-tiba, jurujual berikan tawaran diskaun yang “tak masuk akal", jika anda daftar kelas dalam waktu yang tertentu. Maka, anda pun beli atau daftar kelas - Ketika itu, sistem 1 anda telah mengawal anda sepenuhnya. Anda beli bukan sebab logik, tapi sebab emosi.

Cara nak elakkan terperangkap dari sistem 1.

1. Ambil masa dan ruang.

Dalam hidup saya amalkan prinsip ini ketika membuat keputusan - "Jangan buat keputusan ketika emosi terlalu tinggi atau terlalu rendah"

Saya tidak akan buat sesuatu keputusan ketika marah, sedih, gembira, teruja, moody atau sebagainya. Terutamanya yang melibatkan keputusan yang besar.

Saya akan ambil ruang untuk biarkan emosi reda kemudian baru fikir semula. 

2. Tanya soalan "kawan baik"

Cuba tanyakan soalan ini kepada diri anda. “Kalau ini berlaku pada kawan baik aku, apa nasihat aku akan beri?”

Kajian oleh Zhu & Yang (2016) tunjukkan, kita lebih rasional bila beri nasihat kepada orang lain berbanding buat keputusan untuk diri sendiri.

3. Aktifkan sistem 2

Tulis semua pilihan, risiko dan manfaat. Jalankan eksperimen kecil untuk lihat hasil - Ini memaksa otak kita keluar dari mod automatik System 1.

=

4. Terlalu yakin dengan keputusan sendiri (Overconfindence)

Kita rasa kita dah buat kajian mendalam.
Kita dah analisa semua pilihan yang ada.
Dan kita mungkin pernah berjaya sebelum ini. 
Maka kita buat pilihan dengan yakin.

Yakin dengan keputusan yang dibuat itu bagus, tapi terlalu yakin (overconfidence) sehingga tidak nampak risiko yang tersembunyi itu bahaya dan perangkap yang kita tak sedar.

Sehingga kita terlupa yang dunia ini kompleks dan berubah. 
Kita terlupa dengan "Randomness" atau nasib baik.

Nassim Taleb ada cakap dalam buku dia “Fooled by Randomness” - dia kata ramai orang tersilap menilai kejayaan mereka yang lepas.

Kita fikir kejayaan itu hasil daripada kebijaksanaan, analisa yang tepat atau strategi kita yang hebat, sedangkan kadang-kadang ia hanyalah nasib baik (randomness).

Masalahnya, bila kita berjaya sekali, kita percaya kita boleh ulanginya dengan kaedah yang sama.
Kita rasa kita pandai membaca pasaran, pandai memilih peluang dan pandai strategi - disebabkan itu kita berjaya sebelum ini. 
Padahal sebenarnya mungkin semua itu berlaku kerana kita bernasib baik.

Bila kita terlalu yakin atau overconfident. 
Kita cenderung untuk buat keputusan besar tanpa persediaan.
Ini menyebabkan kita akan terduduk susah nak bangun jika keputusan yang kita buat itu salah.

Cara nak elak perangkap overconfidence.

1.Faham tentang konsep "Nasib Baik" (Randomness)

Kita perlu faham ada banyak perkara dalam dunia ini yang kita tak boleh nak kawal.
Kita tak boleh nak kawal hasil. 
Kita hanya boleh kawal proses untuk capai hasil,itu pun tidak lah sepenuhnya.
Oleh itu, risiko untuk tak berjaya itu sentiasa ada.

2.Sediakan buffer.

Setiap kali kita membuat keputusan atau pilihan, always tanya satu soalan ini.

"Apa perkara paling teruk akan berlaku pada aku sekiranya keputusan aku ini salah?"
"Dan sekiranya keputusan aku ini salah, apa "buffer" yang aku ada?"

Nassim Taleb kata - apa margin of safety yang aku ada?

Contoh - 

Bisnes - Kalau tiba-tiba berlaku perkara macam PKP semasa Covid-19 hari tu, adakah kita mempunyai duit cash yang cukup untuk tampung operasi bisnes.

Pekerjaan - Kalau tiba-tiba anda dibuang kerja 24 jam, adakah anda mempunyai wang simpanan yang cukup untuk tampung perbenlanjaan harian.

Dan sebagainya.

Kesimpulan

Secara ringkas ini kesimpulan dari 4 proses dalam membuat keputusan. 

 1. Dalam proses mencari pilihan, pandangan yang sempit menyebabkan kita kehilangan banyak pilihan yang lain. 

*Solusinya ialah besarkan pandangan kita. 
*Gunakan kaedah "whether AND" dalam mencari pilihan. 

 2. Apabila kita menganalisa pilihan yang ada, kecenderung pada diri sendiri (confirmation bias) menyebabkan kita mengumpul bukti atau maklumat yang kita suka saja. 

*Solusinya ialah uji andaian atau pendapat kita. 
*Tanya soalan-soalan provokasi pada diri kita.
*Lihat pandangan yang berlawanan dengan kita. 
*Jalankan eksperimen kecil terhadap idea kita. 

 3. Ketika kita membuat pilihan, emosi jangka pendek selalu mempengaruhi kita. 

*Solusinya ialah jangan buat keputusan ketika beremosi. 
*Ambil masa dan ruang sebelum membuat keputusan. 
*Tanyakan soalan ""Apa nasihat yang akan aku beri pada kawan baik aku jika dia dalam situasi yang sama? 

 4. Dan akhir sekali, setelah membuat keputusan, kita terlalu yakin dengan pilihan kita. 

*Solusinya ialah buat persediaan sekiranya kita salah. 
*Sediakan buffer atau ruang sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka berlaku.

Ini antara catatan atau nota saya berkenaan buku Decisive : How to Make Better Decisions, tulisan Chip & Dan Heath

Bagus buku ni.

No comments:

Post a Comment

Bagaimana nak bina bisnes ketika kita tiada apa-apa?

Kita tiada modal, tiada kenalan, tiada pengalaman, tiada idea nak jual apa. Kita betul-betul kosong. Apa nak buat? Di mana nak mula? Mula de...